Sunday, 20 October 2013

TUGASAN ARKIB HUBUNGAN ETNIK

PREPARED FOR: Dr Azwani Ismail

GROUP 1
  1. Noor Aini Binti Yusoff
  2. Nuril Ainurjihan Binti Hamdan
  3. Nor Asyraff Binti Mohd Asri@Fikri


KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK


Selepas mempelajari bab ini pelajar dapat:

1.    Mendefinisikan konsep asas hubungan etnik 2.    Menjelaskan peringkat-peringkat hubungan etnik. 3.    Mengaplikasi konsep integrasi etnik dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk Malaysia.




1.1 Pendahuluan

Bab ini akan membincangkan beberapa konsep penting dan aplikasinya dalam mewujudkan hubungan harmoni antara etnik di Malaysia. Antara konsep penting termasuklah konsep etnik, masyarakat, budaya, integrasi dan sebagainya.

Bab ini juga akan membincangkan peringkat-peringkat hubungan etnik yang dikemukakan oleh para pengkaji masyarakat dan aplikasinya dalam konteks negara kita Malaysia

1.2    Konsep etnik, budaya dan masyarakat.

1.2.1 Masyarakat

Kamus Dewan : Masyarakat (society) dapat didefinisikan sebagai kumpulan individu yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan aturan dan cara tertentu.

Jaringan perhubungan antara individu dalam sesebuah masyarakat khususnya melalui hubungan bersemuka yang berulangkali akan membina kesepaduan masyarakat sebagai satu unit sosial.

Seterusnya perhubungan yang erat tersebut akan membentuk sistem sosial seperti berkongsi kebudayaan, adat, nilai, undang-undang dan sebagainya, contoh : budaya gotong royong, nilai ziarah menziarahi, sama-sama merayakan hari kebesaran dan sebagainya.

Jelasnya, masyarakat adalah sekumpulan insan yang berkongsi budaya, memduduki satu-satu kawasan dan kewujudan mereka adalah sebagai satu entiti yang bersatu padu.
Dari keterangan di atas dapatlah dikatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang bangsa atau “masyarakat majmuk”.

Masyarakat Majmuk

Istilah masyarakat majmuk dipelopori oleh J.S Furnivall menerusi kajiannya mengenai masyarakat Indonesia dan Myanmar.

Menurut beliau masyarakat majmuk ialah masyarakat yang terdiri dari pelbagai etnik. Masing-masing mempunyai agama, kebudayaan, bahasa dan adat resam. Walau pun mereka hidup di bawah satu sistem politik, namun mereka menjalani kehidupan secara berasingan. Interaksi di antara mereka adalah amat sedikit dan amat terbatas. Interaksi wujud hanya dalam bidang ekonomi seumpama ketika proses jual beli di pasar sahaja. Seterusnya pemisahan tersebut berlarutan sehingga di bidang pekerjaan, di mana bidang pekerjaan adalah mengikut etnik atau kaum tertentu.

Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Penduduknya terdiri dari pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Bajau, Iban dan sebagainya. Pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia adalah disebabkan oleh perkembangan industri bijih timah dan getah yang pesat di sekitar abad ke 19.

Walau pun etnik ini tinggal di dalam sebuah negara dan di bawah satu sistem politik (pemerintahan penjajah British), namun masing-masing tetap dengan tradisi, identiti, adat resam, budaya, agama mereka. Senarion ini dapat dilihat dalam sambutan hari kebesaran etnik masing-masing hari ini.

Ciri-Ciri Masyarakat

Berkelompok
Masyarakat tidak akan wujud tanpa kehidupan secara berkelompok. Adalah mustahil seseorang individu mampu menyediakan keperluan hidupnya tanpa bergantung pada individu lain. Oleh itu kehidupan berkelompok membolehkan satu anggota masyarakat berinteraksi dengan anggota yang lain dan bergantung hidup dengan anggota masyarakat yang lain.

Berbudaya
Interaksi antara anggota masyarakat akan melahirkan budaya, umpamanya budaya makan dengan tangan bagi orang Melayu. Budaya ini akan diperturunkan dari satu generasi kepada satu generasi.

Berinteraksi
Syarat utama wujudnya sesebuah masyarakat ialah terdapatnya perhubungan, interaksi dan bekerjasama di antara anggota masyarakat. Perhubungan, interaksi dan bekerjasama ini boleh berlaku secara lisan atau tidak lisan.
Mengalami perubahan
Sesebuah masyarakat adalah tidak statik dan pasti mengalami perubahan. Perubahan tersebut belaku disebabkan faktor-faktor yang berasal dari masyarakat itu sendiri. Sebagai contoh penemuan ubat-ubatan moden kini telah merubah kepercayaan dan amalan masyarakat Melayu dari perubatan tradisional kepada perubatan moden.

Mempunyai kepimpinan
Setiap masyarakat mesti wujud sistem politik dan kepimpinan. Ia wujud di pelbagai peringkat sama ada kepimpinan peringkat rendah, sederhana mahupun tinggi. Sebagai contoh bapa adalah pemimpin keluarga, penghulu adalah pemimpin kampung dan Perdana Menteri pemimpin negara.

Mempunyai aturan sosial
Setiap masyarakat mesti mempunyai aturan sosial yang berupa peraturan dan undang-undang. Ia berfungsi menunjuk ajar dan mengawal pergerakan anggota masyarakat.

1.2.2 Budaya

Budaya atau kebudayaan (daripada perkataan Sanskrit buddayah, yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi, yang bermaksud budi pekerti atau akal) secara amnya membincangkan hal-hal berkaitan budi dan akal manusia. Di dalam pengertian yang luas pula bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia, berlawanan dengan "perkara semula jadi"' yang bukan diciptakan atau boleh diubah oleh manusia.

Kamus Dewan (2005) “Budaya adalah kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir), berkelakuan dan sebagainya” (Kamus Dewan Edisi Keempat. 2005).

Menurut Edward B. Taylor, budaya adalah satu konsep menyeluruh yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila, undang-undang, adat resam dan lain-lain kebolehan serta kebiasaan yang diperolehi oleh manusia sebagai anggota masyarakat.

Jelasnya di sini budaya adalah suatu cara hidup yang diamalkan oleh satu-satu kumpulan insan. Ia merangkumi sistem politik, ekonomi, sosial, kepercayaan, adat, nilai dan sebagainya.

Ciri-ciri budaya:

Boleh dipelajari
Ia tidak lahir dengan sendiri, oleh itu mesti dipelajari. Ibu bapa mengajar anaknya bagaimana cara makan, minum, berkomunikasi dengan orang yang lebih tua dan sebagainya.

Boleh diwarisi
Ia boleh diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi. Budaya rakyat Malaysia (Melayu, Cina dan India) hari ini merupakan warisan dari nenek moyang mereka dahulu.

Boleh dikongsi
Ia bukan dihadkan kepada satu-satu etnik sahaja, tetapi boleh diamalkan juga oleh etnik lain. Umpamanya makan nasi lemak, roti canai, nasi ayam yang sudah menjadi budaya rakyat Malaysia.

Boleh berubah-ubah
Budaya adalah tidak statik, tetapi berubah-ubah mengikut kesesuaian zaman, masa dan tempat. Sebagai contoh sebelum merdeka kebanyakan rumah beratap nipah, dan berubah kepada atap genting dewasa ini. Dulu ekonomi masyarakat Malaysia kebanyakannya berteras ekonomi sara diri dan telah berubah kepada ekonomi kapitalis.

Bersifat sejagat
Ia wujud dalam semua kelompok manusia, umpamanya budaya menghormati alam sekitar. Walau bagaimana pun budaya ini berbeza antara satu etnik dengan etnik lain disebabkan oleh nilai setempat, pengaruh luar, agama dan sebagainya

Mempunyai unsur simbolik
Unsur-unsur berupa imej (bendera, warna, logo, lambang dan sebagainya), bunyi (siulan, bunyian alat muzik ), isyarat, ( isyarat tangan, muka dan sebagainya) mempunyai makna tertentu kepada anggota masyarakatnya.

1.2.3 Etnik

Etnik : kelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam. Ini termasuk adat resam, kegiatan ekonomi, bahasa dan pakaian.

Ras : ras adalah merujuk kepada kelompok manusia yang mempunyai ciri persamaan dari segi fizikal seperti warna kulit dan sifat-sifat biologi.

Pengkaji barat, Carl von Linne mengkategorikan manusia kepada:
a)    Caucasoid (putih)
b)    Negroid (hitam)
c)    American (merah)
d)    Mongoloid (kuning)

1.2.4 Bangsa

Bangsa : Merujuk kepada kelompok manusia yang mempunyai asal usul atau keturunan yang sama.
Biasanya konsep bangsa digunakan untuk menggambarkan bilangan anggota etnik yang besar dalam satu-satu kelompok. i.e. bangsa Cina, Melayu, India dan lain-lain.

Pada peringkat lebih tinggi dalam konteks Malaysia, bangsa menggambarkan anggota etnik yang lebih besar yang mana di bawahnya terdapat kelompok etnik. i.e Melayu, Cina, India dsb.

Sistem Nilai Yang Lahir Dari Konsep Asas Hubungan Etnik

Etnisiti : Rasa kekitaan sesuatu kumpulan etnik. Sejarah, nilai, sikap dan tingkah laku yang sama yang menyatukan mereka.

Etnosentrisme : Kepercayaan dan kebanggaan yang wujud di kalangan anggota sesebuah kelompok bahawa kehebatan cara hidup, budaya warisan serta etnisiti mereka adalah jauh lebih baik dari kelompok lain.

Kepercayaan begini akan membawa beberapa implikasi:
a)    Menolak apa-apa yang baik yang terdapat dalam budaya lain
b)    Mencetuskan persengketaan senyap kerana budaya etnik lain dianggap mengganggu dan meruntuhkan martabat manusia
c)    Sukar untuk mewujudkan persefahaman antara etnik kerana sikap ego dan kebanggaan yang melulu
d)    Menjadikan cara hidup dan kebudayaan sendiri sebagai piawai untuk mengukur cara hidup dan budaya etnik lain
e)    Enggan mengetahui cara hidup dan budaya etnik lain sehingga menjadikan mereka seperti “katak di bawah tempurung”.

Rasisme : Pandangan pemikiran dan kepercayaan negatif sesuatu kelompok terhadap kelompok lain berdasarkan fizikal atau biologi.

Diskriminasi : Perbuatan membezakan seseorang individu atau kelompok berasaskan ciri-ciri etnik.

Prejudis : Pandangan negatif terhadap kelompok lain. Ianya dibuat berdasarkan generalisasi dan prasangka sahaja.

Dalam konteks hubungan etnik ianya berlaku apabila satu etnik memandang rendah terhadap etnik lain. Kesan prejudis dapat dilihat bilamana satu etnik berlumba untuk mendapat sesuatu yang terhad baik dari segi politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Streotaip : Ia terbentuk daripada sikap prejudis terhadap etnik-etnik lain. Walau pun sesuatu perlakuan itu dilakukan oleh sekumpulan kecil etnik, tetapi kerana sikap prejudisnya maka ia dianggap seluruh etnik tersebut mempunyai perlakuan yang sama.

Oleh itu stereotaip bolehlah didefinisikan sebagai gambaran berlebih-lebihan tentang perlakuan samada ianya positif mahupun negatif terhadap satu-satu kumpulan.

Contohnya penulis barat mengatakan: “kekayaan yang dimiliki oleh orang Cina kerana kerjas keras mereka, manakala kemiskinan orang Melayu adalah kerana sikap malas dan boros mereka”. Pandangan streotaip orang Melayu terhadap orang Cina: “Orang Cina adalah pengotor”,

1.2    Konsep perpaduan dan integrasi.

Definisi integrasi: Satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional di kalangan kumpulan-kumpulan yang terpisah dari segi kebudayaan, sosial, ekonomi dan petempatan dalam sesebuah unit politik.

Integrasi sosial adalah proses menyatu padukan berbagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti bersama dengan menghapuskan perbezaan identiti masing-masing.

Jelasnya bahawa integrasi akan wujud dalam sesebuah masyarakat apabila ahlinya menerima ciri ahli yang lain tanpa merujuk kepada identiti dan asal usul ras mereka. Ianya akan melenyapkan sikap prasangka, diskriminasi terhadap satu sama lain.

Istilah integrasi sosial ini adalah cetusan idea seorang ahli sosiologi British David Lockwood di dekad 1950an dalam usaha beliau mencari formula keamanan dan keharmonian bagi sesebuah masyarakat yang berbilang etnik.

integrasi etnik dapat diklasifikasikan kepada beberapa Jenis, antaranya:
a)    Integrasi wilayah : Mengurangkan jurang perbezaan antara wilayah dalam konteks ekonomi, politik, sosial dsb.
b)    Integrasi ekonomi : Mengurangkan jurang ekonomi antara kumpulan etnik
c)    Integrasi kebudayaan : Usaha menyatukan budaya pelbagai etnik sehingga menjadi budaya kebangsaan.
d)    Integrasi sosial : Usaha menyatupadukan rakyat melalui program-program sosial.
e)    Integrasi pendidikan : Usaha menyatupadukan rakyat melalui program-program pendidikan.
f)    Integrasi politik : Usaha menyatupadukan rakyat melalui kerjasama politik dan melalui konsep pembahagian kuasa.
g)    Perpaduan : Satu proses menyatupadukan seluruh anggota masyarakat dan negara melalui ideologi negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah air.
Jelasnya perpaduan adalah melibatkan penyatuan masyarakat dalam semua aspek kehidupan baik fizikal, ekonomi, politik dan sosial.

Perpaduan adalah penting bagi mewujudkan kestabilan politik yang mana akan merangsang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.


1.3    Kepelbagaian etnik di Malaysia.

1.3.1 Pendahuluan

Masyarakat merupakan kelompok manusia yang mempunyai budaya dikongsi bersama dan berbeza dengan budaya lain serta mempunyai kawasan geografi tersendiri, bersepadu sebagai satu kelompok dan melihat diri mereka berbeza berbanding orang lain. Umumnya, masyarakat saling berinteraksi dan berkongsi wilayah sama serta terlibat atau mengamalkan budaya yang sama. Terdapat tiga kumpulan etnik utama di Malaysia iaitu Melayu (pribumi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak), Cina dan India.

1.3.2 Masyarakat Pribumi (Melayu, Sabah dan Sarawak)

Konsep pribumi secara umum merujuk kepada kumpulan etnik yang naif/naive (setia) kepada wilayah dituntut dan dipertahankan sepenuhnya oleh sesebuah negara. Konsep pribumi secara khusus pula merujuk kepada penduduk asal Malaysia yang terdiri daripada orang melayu dan orang asli di Semenanjung Malaysia serta kumpulan etnik pribumi di Sabah dan Sarawak. Pada tahun 2000, penduduk Pribumi meliputi 65 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia dan dianggarkan sebanyak 14.35 juta mengikut komposisi penduduk Malaysia. Pada tahun 2005, jumlah penduduk Pribumi telah bertambah kepada 65.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia dan dianggarkan sebanyak 16.06 juta.

1.3.3 Masyarakat Pribumi Semenanjung Malaysia

Masyarakat Pribumi di Semenanjung Malaysia meliputi orang Melayu dan orang asli. Orang asli terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Asli atau Melayu-Proto. Kumpulan Negrito terdiri daripada suku bangsa Kinsui, Kintak, Lanoh, Jahai, Mendrig dan Bateq. Kumpulan Senoi terdiri daripada suku bangsa Temiar, Semai, Semoq Beri, Che’ Wong, Jah Hut dan Mahmeri. Kumpulan Melayu Asli dan Melayu-Proto terdiri daripada suku bangsa Temuan, Semelai, Jakun, Orang Kanaq, Orang Kuala, Orang Seletar dan Orang Laut.

1.3.4 Masyarakat Pribumi di Sabah

Masyarakat di Sabah terdiri daripada empat kelompok utama seperti Kadazan Dusun mewakili 24.8 peratus daripada jumlah populasi masyarakat Sabah diikuti kategori pribumi lain sebanyak 20.6 peratus, Bajau 18.5 peratus dan Melayu 18.5 peratus. Masyarakat Pribumi di Sabah dikatakan berasal daripada Tanah Besar Asia yang bertutur dalam kelompok bahasa Austronesia. Masyarakat Pribumi di Sabah adalah Kadazan / Dusun, Murut, Lun Dayeh, Bisaya, Bajau, Kedayan, Orang Sungei, Melayu Brunei, Iranun dan Suluk.

1.3.5 Masyarakat Pribumi di Sarawak

Di Sarawak etnik Dayak, Melayu dan Melanau berjumlah 73.2 peratus daripada 2.181 juta orang penduduk Sarawak. Etnik Dayak mewakili 44.3 peratus daripada jumlah penduduk diikut oleh etnik Melayu sebanyak 23.2 peratus dan Melanau sebanyak 5.7 peratus. Masyarakat Pribumi di Sarawak adalah Bidayuh, Iban, Melayu, Kayan, Kenyah, Kelabit, Murut dan Lun Bawang, Punan, Penan, Melanau, Kedayan dan Bisayah.

1.3.6 Masyarakat Cina

Menurut sejarah, Masyarakat Cina mula bertapak di Malaysia pada zaman Keagungan kerajaan kerajaan Melayu Melaka. Petempatan awal orang Cina adalah di Melaka. Pada tahun 1403, Laksamana Yin Ching mengetuai rombongan di Melaka membawa permintaan Parameswara kepada Maharaja China memohon untuk bernaung di bawah perlindungan negara China. Pada tahun 1405, utusan dari China diketuai Laksamana Cheng Ho membawa perutusan pengiktirafan Parameswara sebagai pemerintah kerajaan Melaka oleh maharaja China. Melaka terus berkembang sebagai pusat perdagangan yang masyhur.

Kegemilangan Melaka menyebabkan maharaja China menghantar puterinya iaitu Puteri Hang Li Po untuk dikahwinkan dengan sultan Melaka iaitu Sultan Mansur Syah. Puteri Hang Li Po bersama pengikutnya kira-kira 500 orang telah disambut baik oleh sultan Melaka dan kesemuanya memeluk agama Islam. Dipercayai Puteri Hang Li Po dan pengikutnya menetap di suatu tempat dalam daerah Melaka yang dihadiahkan oleh sultan. Kawasan petempatan dinamakan Bukit Cina. Perkahwinan sekufu dan silang budaya masyarakat Cina telah meningkatkan hubungan diplomatik di antara negara China dengan Melaka serta mewujudkan masyarakat Cina terawal di Melaka khasnya dan di negara ini amnya.

Mengikut catatan sejarah, masyarakat Cina di Malaysia berasal dari China Selatan iaitu dari wilayah Fukien, Kwangtung dan Kwangsi. Kelompok utama etnik Cina adalah Hokien, Kantonis, Hakka, Teochew dan Hailam. Kemasukan etnik Cina di Malaysia dipercayai melalui sistem Kontrak yang diperkenalkan sejak tahun 1848 hingga 1914. Selepas tahun 1914, majoriti kemasukan orang-orang Cina adalah secara persendirian. Etnik Cina aktif sebagai pekerja lombong (di kawasan Kuala Lumpur, Ipoh, Taiping, Ampang, Seremban dan lain-lain) dan membuka kedai runcit.

1.3.7 Masyarakat India

Mengikut catatan sejarah, masyarakat India di Malaysia berasal dari India Selatan (Tamil Nadu). Kelompok utama etnik India adalah Tamil, Malayani, Telugu dan Sikh. Kemasukan etnik India di Malaysia dipercayai melalui sistem Kontrak yang diperkenalkan sejak tahun 1880an hingga 1910. Pada tahun 1891, terdapat 75,000 orang India di Tanah Melayu dan jumlah ini telah meningkat kepada 471,536 orang pada tahun 1921. Etnik India aktif sebagai buruh ladang getah dan pekerja kemudahan asas (buruh pembinaan) seperti membina jalanraya dan keretapi.


KESERASIAN HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA

Hubungan etnik di Malaysia dapat dilihat dalam tiga fasa utama iaitu sebelum merdeka, selepas merdeka dan selepas hampir 50 tahun merdeka.

1.1 Sebelum Merdeka

Pada zaman penjajahan British, pelbagai dasar telah diperkenalkan menyebabkan jurang perbezaan antara etnik di negara ini menjadi amat ketara dalam semua bidang seperti politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan tempat tinggal. Pihak British telah memperkenalkan dasar-dasar pembangunan ekonomi dan pada masa yang sama menggalakkan kemasukan buruh asing dari negara Cina dan India. Tindakan pihak British secara tidak langsung telah mengubah komposisi kaum di negara ini. Pada zaman penjajahan British, hubungan etnik terpisah dari segi budaya, ekonomi, politik, sosial dan tempat tinggal sehingga perang dunia kedua. Dasar Pecah dan Perintah (Divide and Rule) pihak British telah melahirkan masyarakat majmuk yang mempunyai ciri-ciri berbeza dari segi penempatan dan pekerjaan seperti berikut: -

· Etnik Melayu tertumpu di kawasan kampung-kampung dan bekerja sebagai petani, pesawah, nelayan, pertukangan dan sebagainya.

· Etnik Cina tertumpu di kawasan bandar dan bekerja di kawasan lombong, melibatkan diri dalam perniagaan runcit dan sebagainya.

· Etnik India tertumpu di kawasan estet dan lading-ladang. Bekerja sebagai penoreh, buruh binaan dan sebagainya.

Pada zaman pemerintahan Jepun pula, penindasan terhadap etnik Cina berlaku. Permusuhan ini adalah kesan daripada perang Jepun-China pada tahun 1937. Pihak Jepun menjaga hubungan baik dengan masyarakat Melayu dan orang-orang Melayu diberi peluang untuk bekerja dalam pentadbiran. Pihak Jepun juga menjaga hubungan baik dengan orang-orang India. Sistem pemerintahan Jepun yang berat sebelah telah mengundang permusuhan di kalangan etnik Cina dan Melayu. Etnik Cina aktif berpolitik dan menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menentang Jepun. PKM berfungsi menjaga dan membela nasib orang Cina yang tertindas.

Parti politik Cina telah menyiksa orang-orang Melayu sebagai tanda membalas dendam setelah pihak Jepun berundur dari Tanah Melayu. Jurang di antara etnik pada zaman penjajahan adalah amat besar dan menimbulkan ketidakpuasan di kalangan pelbagai etnik di negara ini. Etnik Cina dan India berusaha ke arah mendapatkan taraf sama rata seperti etnik dominan Melayu. Secara tidak langsung, tindakan etnik Cina dan India telah mengundang rasa tidak puas hati di kalangan etnik Melayu sehingga tertubuhnya Malayan Union pada 1 April 1946 dan Isu Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan kemerdekaan ketiga-tiga etnik ini telah bersatu dan bekerjasama membentuk Parti Perikatan yang dianggotai oleh parti UMNO, MCA dan MIC. Pembentukan ketiga-tiga jenis parti ini telah banyak menyumbang kepada perpaduan dan integrasi nasional di kalangan etnik di negara ini. Berikut adalah beberapa ciri-ciri parti politik UMNO, MCA dan MIC: -

· Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah ditubuhkan pada tahun 1946. UMNO diasaskan oleh Dato Onn Jaafar. UMNO ditubuhkan bertujuan untuk menentang Malayan Union dan berjuang menuntut kemerdekaan.

· Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA) telah ditubuhkan pada tahun 1949. MCA diasaskan oleh Tan Cheng Lock. MCA ditubuhkan bertujuan untuk melindungi kepentingan Cina dan bekerjasama dengan etnik lain untuk mencapai kemerdekaan.

· Kongres India Tanah Melayu (MIC) telah ditubuhkan pada Tahun 1949. MIC diasaskan oleh John Thivy. MIC ditubuhkan untuk menjaga kepentingan kaum India dan memperjuangkan kemerdekaan bersama etnik lain.

Tidak dinafikan secara tidak langsung kedatangan Inggeris telah membawa kepada usaha-usaha perpaduan melalui tindakan pembentukan Jawatankuasa Perhubungan Kaum. Hubungan etnik juga amat baik semasa menentang komunis.



1.2 Selepas Merdeka

Selepas merdeka, wujud kerjasama erat di kalangan etnik di Malaysia. Kerjasama erat juga wujud sebelum dan selepas penubuhan Malaysia. Ancaman-ancaman luar seperti konfrontasi Indonesia telah mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Hubungan yang baik antara etnik mengundang kepada usaha nasional untuk merapatkan hubungan etnik sedia ada dari masa ke semasa. Beberapa dasar digubal oleh kerajaan telah banyak memberikan implikasi positif kepada perpaduan etnik di negara ini sehingga kini. Penglibatan semua kaum dalam perancangan negara secara tidak langsung membentuk keharmonian sehingga kini. Dari segi politik, orang Melayu diwakili oleh Parti Umno, orang Cina diwakili oleh MCA dan orang india diwakili oleh MIC. Perpaduan etnik telah membentuk Parti Perikatan dan akhirnya parti perikatan ini telah berjaya dalam pilihanraya untuk membentuk kerajaan sendiri. Beberapa dasar digubal oleh kerajaan untuk merapatkan hubungan etnik seperti berikut: -

Strategi Pemantapan Perpaduan

Rukun Negara

Pembentukan rukun Negara telah tercipta ekoran daripada berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 iaitu peristiwa rusuhan kaum. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah ditubuhkan pada 29/1/1970 selepas peristiwa hitam itu akta undang-undang darurat. Peranann utama MAGERAN ialah untuk mengembalikan keamanan Negara, melicinkan pentadbiran dan mengembalikan kerharmonian antara kaum. Antara ahli yang terlibat seperti Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato’Hussien (Pengarah Mageran). Antara menteri-menteri adalah seperti Allahyarham Tun Dr. Ismail bin Dato’Abdul Rahman, mendiang Tun Tan Siew Sin dan mendiang Tun V.T Sambanthan. Hasil dari kata sepakat lahirlah rukun Negara pada 31/8/1970 (ulangtahun merdeka). Matlamat utama adalah untuk mengukuhkan perpaduan, memelihara corak hidup demokratik, mencipta sebuah masyarakat yang adil dan menjamin sikap liberal terhadap tradisi kebudadayaan yang pelbagai.


· Dasar Pelajaran Kebangsaan


Pembentukan Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan sebagai usaha untuk menyatupadukan murid-murid dari semua kumpulan etnik ke dalam satu sistem pelajaran yang sama dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Umumnya, dalam pendidikan usaha memupuk perpaduan dan persefahaman disalurkan melalui kurikulum dan ko-kurikulum sekolah. Matlamat penting dasar ini adalah memupuk perpaduan dan integrasi nasional melalui elemen-elemen seperti berikut: -

-Pertama, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi.
 -Kedua, menyediakan sukatan pelajaran yang sama kandungannya.

· Dasar Ekonomi Baru (DEB)

DEB termaktub dalam rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama. DEB merupakan satu program jangka panjang yang mengambil masa selama 20 tahun. DEB dimulakan pada tahun 1970. Beberapa Matlamat utama DEB membantu dalam pembentukan integrasi nasional dalam pelaksanaannya adalah seperti berikut: -

- Penyusunan semula masyarakat majmuk untuk mengurangkan dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.

- Membasmi kemiskinan. Ketidakseimbagan ekonomi etnik berpunca daripada dasar pecah dan perintah Inggeris. Pengelasan etnik mengikut pekerjaan dan pelajaran telah menyebabkan interaksi etnik Melayu, Cina serta India kurang berlaku.

- Mengurangkan ketidakseimbangan dalam gunatenaga supaya penyertaan etnik adalah seimbang.

· Dasar Pembangunan Nasional

Dasar Pembangunan Nasional (DPN) merupakan kesinambungan kepada DEB yang berakhir pada tahun 1990. Program DPN meliputi perkara-perkara seperti berikut: -

-Membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
-Memastikan keseimbangan kaum dalam pelbagai aspek.
-Meningkatkan penggunaan sains dan teknologi.
-Menerapkan nilai sosial, kerohanian dan amalan cintakan alam sekitar.
- Meningkatkan peluang dan kemudahan pendidikan.

1.3 Selepas Hampir 50 Tahun Merdeka

Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan sehingga kini, negara mengecapi kemerdekaan mencecah ke usia 56 tahun. Suatu tempoh yang cukup mematangkan dalam pembentukan sesebuah negara. Kemakmuran negara pada hari ini adalah disebabkan oleh wujudnya persefahaman dan sikap toleransi di kalangan etnik berbilang bangsa, budaya dan agama. Pembentukan dasar menyeluruh dan kesinambungan program pembangunan negara telah banyak membantu dalam membentuk hubungan erat di kalangan etnik di negara ini. Pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang, pelaksanaan misi Wawasan 2020 dan rancangan-rangcangan pembangunan banyak membantu dalam membentuk dan mengekalkan hubungan etnik yang baik di kalangan masyarakat majmuk berbilang kaum, bangsa dan agama.

Umpamanya, dalam Wawasan 2020 digariskan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi melibatkan hubungan etnik untuk menjadikan negara maju menjelang tahun 2020. Wawasan 2020 diwujudkan bertujuan untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Dalam wawasan ini, sembilan cabaran berkaitan dengan hubungan etnik dikenalpasti untuk dihadapi seperti berikut: -
  1.  Membentuk negara bersatu padu dan satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan     politik dan dedikasi kepada negara.
  2. Mewujudkan masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang ada dan gagah menghadapi pelbagai masalah.
  3. Membentuk dan memperkembang masyarakat demokratik matang yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia unggul berasaskan muafakat dan musyawarah, dan dapat dicontohi oleh negara-negara membangun.
  4. Mewujudkan masyarakat bermoral dan beretika sepenuhnya dengan warganegara Malaysia mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian utuh serta didorong oleh piawaian etika paling tinggi.
  5. Mewujudkan masyarakat matang bersifat liberal dan bertoleransi dengan setaip rakyat bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing serta pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka pada satu negara.
  6. Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat berdaya cipta serta berpandangan jauh iaitu masyarakat yang bukan saja menjadi pengguna teknologi tetapi menjadi penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.
  7. Membentuk masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah masyarakat yang lebih mementingkan masyarakat berbanding diri sendiri.
  8. Membentuk masyarakat yang adil ekonominya iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan secara adil dan saksama.
  9. Membentuk masyarakat makmur dengan ekonomi yang mampu menghadapi persaingan, bersifat dinamik dan ada daya ketahanan.


Sedikit pautan bersama:

Gambar menunjukan orang ramai dari pelbagai kaum dan pertubuhan mengadakan perarakan di Kuala Lumpur pada 7 julai 1954. Perarakan ini diadakan bagi menuntut pihak British member kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu.




Perarakan UNMO-MCA kerana tuntutan Kemerdekaan di Kuala Lumpur,

tahun &hb Julai, 1954.




Perarakan United Malays National Organisation (UMNO) and Malayan Chinese Association (MCA) kerana tuntutan kemerdekaan, di Kuala Lumpur pada 7hb 1954.







Rujukan



1.  Modul Teks Pengajian Malaysia MPW 1133, Zaida Bt Ismail & Riani Bt Awang,     Unit Pengajian Malaysia – Kolej Profesional MARA Beranang.

2.    Arkib Negara Malaysia











No comments:

Post a Comment